Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Donnie Yen gagah beraksi di usia 61 tahun

    Usia tidak menjadi penghalang buat bintang legenda dari Hong Kong, Donnie Yen, 61, untuk terus beraksi dan mencari pengalaman baharu dalam industri perfileman.

    Biarpun sudah terbabit selama 40 tahun dalam dunia perfileman dengan membintangi lebih 50 filem, aktor kelahiran Guangzhou, China ini masih mempunyai minat mendalam untuk mencabar diri dengan pelbagai perkara baharu.

    Buktinya, penerima tiga kali Anugerah Golden Horse itu kembali ke layar perak menerusi filem terbaharu, The Prosecutor yang bakal ditayangkan secara rasmi di Hong Kong bermula 21 Disember ini.

    Yen yang popular menerusi filem Ip Man berkata, langkah diambil adalah untuk terus mencabar diri, selain menyifatkan naskhah terbaharu tulisan Edmond Wong itu menjadi medan baharu buatnya mencuba perkara baharu.

    “Saya suka mencari pengalaman berbeza dengan mencuba melakonkan pelbagai watak dalam setiap filem.

    Antara babak Donnie Yen dalam filem The Prosecuter yang bakal ditayangkan di Hong Kong pada 21 Disember ini. – BH Online

    “Walaupun watak saya tidak sukar seperti beberapa naskhah yang pernah dijayakan, tetapi saya ambil ini sebagai pengalaman baharu.

    “Hanya ada satu perkara dalam minda saya iaitu mahu melakukan perkara berbeza daripada sebelum ini.

    “Mungkin filem dengan genre atau cerita sama ada ditayangkan sebelum ini, jadi saya perlu mengambil sedikit masa untuk mencari idea untuk membawa watak berbeza,” katanya kepada BH Online.

    Menerusi filem diinspirasikan kisah benar itu, Yen tidak hanya tampil dengan aksi mendebarkan, malah turut mengkaji dan mendalami watak selama beberapa bulan supaya dapat diterjemahkan dengan lakonan berkesan.

    Penerima anugerah Asian Outstanding Actor pada Anugerah Filem Asia Ke-8 itu berkata, usaha dilakukan untuk memastikan lakonan dipersembahkan sampai ke hati penonton.

    “Saya menghabiskan masa beberapa bulan untuk melakukan kajian mengenai cerita dan watak sebelum mempersembahkannya dalam keadaan terbaik. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda