Selepas meraih kejayaan kutipan pecah panggung, filem Don’t Breathe yang pernah diterbitkan tahun 2016, kini ia kembali dengan aksi lebih mendebarkan menerusi sekuel, Don’t Breathe 2.
Filem arahan Rodo Sayagues itu dijangka mampu mengulangi kejayaan sama apabila naskhah tersebut digerakkan dengan bijak dalam mengisi genre seram, thriller dan luar jangkaan.
Sekuel filem itu masih memfokuskan watak utamanya, Norman Nordstrom (Stephen Lang) dan mengambil latar masa selepas lapan tahun kejadian dalam filem pertama.
Norman seorang lelaki buta dan bekas tentera hidup di sebuah kawasan terpencil kini menjadi bapa angkat kepada kanak-kanak perempuan yang ditemui-nya di jalanan, bernama Phoenix.
Ketenteraman hidup Norman bagaimanapun diragut dengan kehadiran sekumpulan penceroboh yang berniat buruk terhadap anak angkatnya.
Sebagaimana judul, begitulah juga situasi yang berlaku sepanjang menonton filem ini. Don’t Breathe 2 tidak menunggu lama untuk mengajak penonton merasai debaran demi debaran sekali gus tidak senang duduk.
Malah filem yang lakon layar ditulis bersama oleh Fede Alvarez (pengarah filem pertama) dan Sayagues tampil dengan pelbagai kejutan menerusi babak yang sukar dijangka penonton. – Agensi
