SEOUL, 13 OKT – Doosan Enerbility Co., syarikat pembinaan loji utama Korea Selatan hari ini mengumumkan bahawa ia mengeksport produk turbin gas ke Amerika Syarikat (AS), menandakan perjanjian pertama negara itu untuk menghantar turbin gas yang dibangunkan dalam negeri ke luar negara, lapor agensi berita Yonhap.
Doosan Enerbility menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat teknologi gergasi untuk membekalkan dua turbin gas berkapasiti 380 megawatt bagi loji janakuasa menjelang akhir 2026, menurut kenyataan media syarikat itu.
Bagaimanapun, nama pelanggan dan nilai kontrak tidak didedahkan.
Pada 2019, Korea Selatan menjadi negara kelima di dunia yang berjaya membangunkan turbin gas sendiri selepas AS, Jepun, Jerman dan Itali. Sebelum itu, negara itu bergantung sepenuhnya kepada import.
“Perjanjian ini merupakan titik perubahan bermakna bagi Korea Selatan, mengubah statusnya daripada pengimport utama kepada pengeksport turbin gas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perniagaan Perkhidmatan Kuasa Doosan, Sohn Seung-woo.
“Kami akan terus memperkukuh kehadiran di pasaran global dengan memastikan pematuhan ketat terhadap kualiti produk dan jadual penghantaran,” kata beliau. – Bernama


