Dorna Sports optimis MotoGP diteruskan

KUALA LUMPUR, 4 JUN – Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, bersedia menganjurkan perlumbaan Grand Prix (GP) motosikal di luar benua Eropah pada hujung musim ini, biarpun berdepan penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta berkata empat perlumbaan di luar benua Eropah berlangsung mengikut jadual – GP Thailand (4 Okt), GP Malaysia (1 Nov), GP Amerika (14 Nov) dan GP Argentina, namun perlu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negara terlibat.

“Kami mempunyai tempoh hingga hujung Julai untuk memaklumkan kepada semua pihak sama ada perlumbaan diteruskan atau tidak. Selepas dua perlumbaan, kami akan melihat kembali kalendar sama ada menganjurkan 12, 14 atau maksimum 16 pusingan perlumbaan.

“Kalendar yang akan kami bentangkan, jika tiada sebarang masalah, bermula pada 19 Julai di Litar Jerez, diikuti perlumbaan 12 atau 13 pusingan, pada November,” katanya dalam satu kenyataan di laman web MOTOGP. Berikutan itu, Ezpeleta berkata Dorna Sports menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam setiap paddock untuk mencegah jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelumba dan kru teknikal selepas perlumbaan MotoGP diteruskan semula. – Bernama