Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dorong pelajar cipta produk inovatif

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Seramai 60 orang dari 16 buah kumpulan menyertai Pertandingan Produk Inovasi 2023 dengan tema Memacu Inovasi dan Penyelidikan ke arah Kemampanan Agroteknologi yang dirasmikan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pendidik Teknik, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli selaku Pengerusi Festival Antarabangsa Agroteknologi 2023.

    Turut merasmikan pertandingan itu ialah Pengarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Malaysia, Norehan binti Silek, AAP.

    Dalam ucapannya, Dr Haji Mohd Zamri berkata, tema pertandingan adalah bertepatan dengan era sekarang yang mana ia dipandu oleh Revolusi Industri 4.0, di mana penerapan serta penggunaan teknologi dalam industri pertanian dan makanan sangat diperlukan
    dan semakin meningkat.

    “Tidak dinafikan, sektor pertanian adalah penting bagi mewujudkan keberdikarian bekalan makanan di samping meningkatkan pendapatan dan memajukan ekonomi sesebuah negara,” ujar beliau.

    Dr Haji Mohd Zamri dan Norehan bersama-sama merasmikan Pertandingan Produk Inovasi 2023 dengan tema Memacu Inovasi dan Penyelidikan ke arah Kemampanan Agroteknologi, kelmarin. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Antara yang hadir pada majlis perasmian pertandingan berkenaan. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Gambar oleh Rafi Rosli

    Dalam hubungan itu, jelasnya lagi, adalah penting bagi pelajar dan penyelidik bidang pertanian untuk berpengetahuan dan berkemahiran terutama dalam aspek keilmuan berasaskan teknologi bagi memajukan industri pertanian negara seterusnya meningkatkan hasil pertanian ke arah pertanian mampan.

    Mengulas mengenai pertandingan itu, beliau berkata ia bertujuan untuk memberikan platform kepada pelajar dan penyelidik untuk mencipta produk inovatif yang mampu memberikan impak dan faedah kepada masyarakat dan juga penyelidik untuk membangunkan idea baharu dalam bidang agroteknologi dan keusahawanan mengikut era globalisasi.

    “Pertandingan ini mencerminkan komitmen dan inisiatif IBTE dan POLISAS bagi menyemai dan memperkasakan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar dan penyelidik.

    “Di samping itu, ia juga memberikan peluang untuk mempamerkan bakat dan idea inovasi terutama dalam membangunkan produk-produk,” tambahnya.

    Pertandingan itu mempertandingkan enam kategori iaitu agroteknologi, akuakultur, hortikultur, teknologi makanan, teknologi hijau dan juga bioteknologi.

    Sepanjang pertandingan, peserta dan penyelidik akan mempertandingkan inovasi dan usaha kreativiti yang dilaksanakan dan akan dinilai oleh barisan juri profesional yang
    dilantik.

    Majlis turut diisi dengan sesi Panel Talk yang disampaikan oleh industri jemputan dari Ideal Multifeed Farm, Eco Agro Farm dan Flavourista Sdn Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda