Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 29 Sept – Seramai 65 orang murid yang terdiri daripada 29 orang murid lelaki dan 36 orang murid perempuan Darjah 6 Sekolah Ugama Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang, Tutong II telah diraikan di Majlis Khatam Al-Quran, baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di Dewan Serba Guna Perpindahan Bukit Beruang itu dihadiri oleh Pembantu Pegawai Pengajian Islam, Pejabat Pengajian Islam, Awang Haris Hamdillah bin Haji Masri selaku tetamu khas.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim oleh peserta-peserta khatam Al-Quran.
Kemudian, takhtim dibacakan oleh murid-murid Darjah 2, 4 dan 5, manakala itu, Doa Khatam pula dibaca oleh peserta khatam, Awang Mohd Afiq Syahmi bin Hirmaa.
Majlis dimeriahkan lagi dengan Dikir Asyrakal oleh murid-murid Darjah 5 dan diikuti dengan merinjis minyak wangi dan penyampaian sijil kepada peserta khatam yang disampaikan oleh tetamu khas.
Majlis seumpamanya juga turut diadakan oleh Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, kelmarin.
Dalam majlis tersebut, seramai 169 murid khatam Darjah 6 sesi pagi dan petang sekolah berkenaan telah diraikan dalam majlis tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Penolong Pengarah Profesional, Jabatan Pengajian Islam, Hajah Norjarah binti Haji Luidin,
Juga hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Kampung Perpindahan Mentiri, Pengiran Haji Aliuddin bin Pengiran Haji Damit, para pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, guru-guru besar serta para ibu bapa dan penjaga peserta khatam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis dan diikuti dengan bacaan surah-surah daripada para peserta khatam.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan dan bacaan dikir oleh murid-murid lelaki sekolah tersebut.
Acara juga diselajurkan dengan merenjis wangian dan penyampaian sijil kepada peserta-peserta khatam yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis.
Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh guru sekolah berkenaan, Awang Ismawi bin Haji Maidin.
Acara seumpamanya merupakan penganjuran kali pertama di masjid berkenaan yang dikendalikan oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Pengiran Siti Irda binti Pengiran Haji Aliuddin, Penolong Guru Besar Akademik, Haji Mohd Noorariffin bin Haji Durahim, Penolong Guru Besar Pentadbiran, Hajah Nafsiah binti Paka serta guru-guru sekolah berkenaan.
Adapun tujuan majlis diadakan adalah bagi memberi dorongan dan galakan kepada murid-murid untuk terus berusaha mempelajari serta menghayati Al-Quran sehingga mereka menamatkan bacaan 30 Juzuk sebelum mereka menamatkan persekolahan agama.
Di samping itu, murid-murid juga diharap akan dapat mengamalkan pembacaan Al-Quran dengan betul dan lancar dengan bertajwid.