Dorong peserta tingkat kemahiran, jana pendapatan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Seramai 16 orang peserta telah berjaya menamatkan kursus jahitan pakaian dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang diselajurkan dengan perasmian Kedai Jahit Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di Dewan Kemasyarakatan Mukim Mentiri, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Dayang Fairuz binti Haji Zolkifli yang turut menyempurnakan penyampaian sijil dan perasmian kedai berkenaan.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Haji [email protected], Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan pemangku penghulu Mukim Mentiri. Kelas jahitan berkenaan dilaksanakan oleh Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan (BKP), Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri, yang sebelum ini diadakan pada Oktober hingga November tahun lalu.

Ketua Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan, Dayang Fatimah binti Haji Jamil dalam ucapannya menjelaskan bahawa kursus tersebut bukan sahaja disertai oleh mereka yang tinggal di kawasan RPN Kampung Panchor Mengkubau sahaja, malah mereka yang tinggal di kawasan lain termasuk Kampung Kiulap, Kampung Bendahara Lama, Kampung Jerudong, Kampung Menunggol dan banyak lagi.

Beliau berharap agar dengan kursus tersebut akan mendorong para peserta terutama dalam kalangan ibu tunggal untuk memperoleh kemahiran dan dapat menjana pendapatan untuk keluarga mereka.

Setelah majlis penyampaian sijil, tetamu kehormat kemudiannya dialu-alukan untuk merasmikan Kedai Jahit 1K1P yang dijalankan oleh empat peserta terpilih yang telah memperoleh kemahiran dan pengetahuan daripada kursus jahitan yang telah disertai.

Dayang Fairuz semasa diberi penerangan mengenai pengambilan ukuran baju di Kedai Jahit 1K1P.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Kedai Jahit 1K1P yang dijalankan oleh empat peserta terpilih yang telah memperoleh kemahiran dan pengetahuan daripada kursus jahitan.