Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dortmund gagal bangkit sepenuhnya

    DORTMUND, 16 APRIL – Barcelona mara ke separuh akhir Liga Juara-juara dengan kemenangan agregat 5-3, walaupun tewas 3-1 kepada Borussia Dortmund semalam, di mana Serhou Guirassy menjaringkan hatrik.

    Berbekalkan kelebihan 4-0 selepas persembahan dominan di Catalonia, pasukan pelawat terpaksa berhempas pulas apabila Dortmund dan Guirassy hampir mencipta kebangkitan menakjubkan.

    Guirassy membuka jaringan untuk Dortmund melalui sepakan penalti gaya Panenka pada minit ke-11 dan menambah gol kedua menerusi tandukan awal separuh masa kedua.

    Dortmund mula merasakan peluang untuk mencipta kejutan, namun Barcelona bangkit semula apabila Fermin Lopez memaksa Ramy Bensebaini menjaringkan gol sendiri dengan baki lebih sedikit daripada setengah jam permainan.

    Guirassy kembali membakar semangat Dortmund dengan gol ketiganya pada minit ke-76 dan aksi penghujung permainan mungkin berbeza jika Julian Brandt tidak berada dalam kedudukan ofsaid sebelum menjaringkan gol pada minit ke-79.

    Meskipun tewas dalam perlawanan kompetitif pertama mereka pada tahun 2025, Barcelona mara ke separuh akhir sambil mengekalkan impian untuk meraih treble yang luar biasa, 10 tahun selepas kali terakhir mereka melakukannya dengan menjuarai Liga Juara-juara di Berlin.

    Jurulatih Barcelona, Hansi Flick, memuji persembahan Dortmund dan berkata pasukannya “perlu memberi tumpuan kepada perkara positif, bukan yang negatif.” – AFP

    Robert Lewandowski dan Ramy Bensebaini berebut bola semasa perlawanan timbal balik suku akhir Liga Juara-juara UEFA antara Borussia Dortmund dan Barcelona di Dortmund, Jerman barat pada 15 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda