BERLIN, 11 Ogos – Borussia Dortmund berkata mereka telah menolak tawaran dari Barcelona untuk mendapatkan Ousmane Dembele, ketika pemain penyerang itu digantung kerana tidak hadir dalam latihan.
Dortmund berkata perpindahan Dembele ke Camp Nou, di mana dia akan diletakkan sebagai pengganti Neymar, adalah tidak mungkin, selepas mereka menolak tawaran yang tidak menggambarkan nilai ‘luar biasa’ pemain sayap muda itu atau kedudukan pasaran perpindahan kini.
“Memandangkan tidak ada lagi tawaran lain, pertukaran pemain ke FC Barcelona tidak akan dijangka pada kali ini,” kata kenyataan kelab itu.
Dembele, yang baru berusia 20 tahun digambarkan salah seorang pemain berbakat besar di Eropah, diburu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Neymar, yang berpindah ke Paris Saint-Germain bagi rekod dunia 222 juta euro (AS$260) minggu lalu.
Tabloid dari Jerman, Bild, melaporkan bahawa Dortmund mahukan perpindahan 150 juta euro (AS$175 juta) bagi bintang mereka yang semakin meningkat itu, harga yang kelihatannya tidak mahu dibayar oleh Barca.
Dembele, yang tidak merahsiakan hasratnya untuk beraksi bersama Barcelona, gagal untuk hadir bagi latihan semalam.
“Kami tidak tahu mengapa. Kami cuba untuk menghubunginya tetapi tidak berjaya,” jurulatih Dortmund, Peter Bosz memberitahu wartawan.
Kecewa dengan perkara itu, Dortmund menggantung pemain dari Perancis itu bagi ketiadaannya tanpa sebarang penjelasan.
“Kami sudah tentu akan mengambil tindakan terhadap salah laku ini,” kata pengarah sukan, Michael Zorc dalam satu kenyataan, yang menambah bahawa Dembele digantung sehingga selepas perlawanan Piala hujung minggu ini.
Bild menggambarkan Dembele mungkin berusaha untuk memecahkan kebuntuan dalam perundingan tanpa kehadirannya.
“Dembele mahu pergi ke Barcelona tetapi semalam dia terpaksa menerima fakta bahawa kedua buah kelab tidak bersetuju dengan yuran perpindahan,” menurut Bild. – AFP