Sunday, December 22, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dortmund tersingkir Piala Jerman

    WOLFSBURG, 30 OKT – Borussia Dortmund tersingkir daripada Piala Jerman di pusingan kedua selepas tewas 1-0 kepada Wolfsburg dalam masa tambahan awal pagi tadi, menambah lagi tekanan kepada kelab yang bergelut itu.

    Perlawanan berakhir tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit, dengan kedua-dua pasukan kelihatan bersedia untuk penentuan penalti sehingga Jonas Wind menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-117.

    Dortmund dan jurulatih baharu mereka, Nuri Sahin, memasuki perlawanan dalam keadaan tertekan, dengan pasukan finalis Liga Juara-juara musim lalu kini ketinggalan tujuh mata daripada kedudukan teratas liga selepas lapan perlawanan.

    Dortmund, yang mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam perlawanan di tempat lawan, memulakan babak pertama dengan baik apabila Maximilian Beier hampir mencetak gol, tetapi sepakannya terkena tiang.

    Walaupun menguasai perlawanan, Dortmund kekurangan dari sudut serangan dan gagal memecahkan kebuntuan, menunjukkan mereka bersedia untuk ke penentuan penalti apabila masa tambahan hampir tamat.

    Aksi Wind ketika menjaringkan gol pembukaan semasa perlawanan di Wolfsburg, Jerman Utara, baru-baru ini. – AFP

    Bagaimanapun, Wind memanfaatkan peluang untuk Wolfsburg dengan jaringan lewat, menambah lagi tekanan ke atas Sahin dan pasukannya yang bergelut.

    “Memang agak mengecewakan apabila dibolosi pada minit akhir selepas 120 minit perlawanan. Memang sukar,” kata pemain Dortmund, Pascal Gross. “Kami berdepan isu kecederaan, tetapi itu bukan alasan kerana kami ada peluang untuk menjaringkan gol,” tambahnya.

    Dalam perlawanan lain, Stuttgart mencatat kemenangan 2-1 di laman sendiri untuk menyingkirkan finalis tahun lalu, Kaiserslautern, menerusi jaringan Nick Woltemade dan Chris Fuehrich.

    Woltemade membuka jaringan untuk Stuttgart pada minit ke-14, namun Kaiserslautern menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti oleh Boris Tomiak pada penghujung babak pertama perlawanan.

    Ermedin Demirovic, yang menyumbang gol pertama Stuttgart, sekali lagi memain peranan penting dengan membantu Fuehrich untuk gol kedua, memastikan Stuttgart kembali mendahului dengan perlawanan berbaki 15 minit. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda