Dos penggalak diberi secara berfasa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sangat menggalakkan pemberian dos penggalak tetapi untuk mewajibkannya agak sukar kerana masih banyak negara di dunia yang belum mencapai 100 peratus penduduk menerima satu dos vaksin.

“Sebab itu, WHO sangat menggalakkan bagi yang ada vaksin dos penggalak untuk memberikannya,” jelas Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Mengulas persoalan media mengenai kepentingan dos penggalak diberikan kepada golongan warga emas, Yang Berhormat Dato mengongsikan pengalaman yang dihadapi oleh salah sebuah negara di barat yang terlebih awal menerima vaksin dan didapati dalam penularan terbaharu itu menunjukkan mereka yang tidak mendapatkan vaksin memang tinggi dan gejalanya teruk.

Orang yang sudah divaksinasi lebih dari enam bulan juga banyak yang terkena jangkitan dan bergejala teruk tapi tidaklah seteruk bagi yang tidak mendapatkan vaksin.

“Inilah menjadi kebimbangan dan ketakutan kerana selepas enam bulan, imuniti akan menurun dan dapatan saintifik di Amerika Syarikat juga menunjukkan perkara yang sama,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa dapatan kes di negara Barat itu adalah sahih dan bukan kajian, negara tersebut juga telah mengarahkan orang yang berumur 18 tahun mendapatkan vaksin.

Manakala bagi Brunei, jelas Yang Berhormat Dato, pemberian dos penggalak ini dibuat secara berfasa sama seperti sebelumnya yang mana pemberian dos penggalak mula diberikan kepada petugas barisan hadapan.

Pada masa ini, tambah beliau, petugas barisan hadapan di bahagian perubatan dan pasukan beruniform ramai yang sudah menerima dos penggalak.

Setelah selesai fasa untuk petugas barisan hadapan, pemberian dos ini akan diberikan kepada yang berusia 50 tahun ke atas dan barulah mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

“Pemberian dos penggalak kepada golongan remaja 12 hingga 17 tahun belum dapat dipastikan lagi,” jelasnya.