Dos penggalak masih secara berfasa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Pada masa ini, pemberian dos penggalak atau booster kepada petugas barisan hadapan masih lagi berlangsung dan jika ia sudah diselesaikan untuk golongan ini, pemberian seterusnya diberikan kepada golongan warga emas atau mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit.

“Pemberian dos penggalak akan diberikan secara berperingkat di mana pemberiannya akan mula diberikan kepada petugas barisan hadapan seperti pada masa mula-mula fasa pemberian vaksin dulu,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan yang ditimbulkan mengenai bila dos penggalak akan diberikan kepada orang ramai, lebih-lebih lagi ketika negara akan menuju ke Fasa Endemik.

Yang Berhormat Dato turut menyatakan selesai sahaja golongan tersebut diberikan dos penggalak, ia juga akan diberikan kepada yang lain.

“Tempoh untuk dos penggalak bagi vaksin Moderna atau Pfizer selepas enam bulan dari dos kedua manakala Sinopharm pula dibolehkan untuk pengambilan dos penggalak tiga bulan selepas dos kedua,” tambahnya lagi mengenai jarak pengambilan dos penggalak.