Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dounan Flower Market tawar pelbagai bunga eksotik pada harga rendah

    KUNMING – Pelbagai bunga berwarna-warni dan jenis tanaman hiasan serta bau harum menyambut ketibaan para pengunjung di Kampung Dounan di Kunming, lokasi terletaknya pasar borong bunga-bungaan terbesar di Asia dan kedua terbesar di dunia.

    Panorama di desa itu menambahkan keunikan iklim dan permukaan bumi, membolehkan pelbagai jenis bunga dan tumbuhan dapat ditanam dan hidup subur untuk dijadikan sebagai hadiah atau hiasan rumah dan pejabat.

    Namun, ia lebih daripada itu, perdagangan bunga-bungaan di Desa Dounan telah mencipta 600,000 peluang pekerjaan, menyaksikan 57 peratus atau kira-kira 340,000 pekerjaan dilakukan oleh penduduk tempatan.

    Sejak dibuka semula pada Januari tahun ini selepas pandemik COVID-19, Pasar Bunga Dounan (Dounan Flower Market) sudah menerima 2.3 juta pengunjung hingga hujung Mei, kata Pengarah Perhubungan Awamnya, Zhang Xian.

    Di China, industri bunga-bungaan dan tanaman hiasan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi. Bekalan bunga-bungaan mencapai 16.2 bilion tangkai pada tahun 2022, dengan negeri Yunnan menyumbang 70 peratus atau 11.2 bilion tangkai.

    Antara bunga yang dijual di pasar berkenaan. – Gambar Bernama
    Suasana Pasar Bunga Dounan, baru-baru ini. – Gambar Bernama

    Zhang berkongsi maklumat itu dengan rombongan media dari Asia Tenggara yang melawat Pusat Lelongan dan Perdagangan Bunga Antarabangsa Kunming baru-baru ini. Media Malaysia diwakili Bernama dan Berita Harian.

    Rombongan itu diundang oleh Kerajaan Provinsi Yunnan untuk mengambil bahagian dalam program Kembara Kereta Api China-Laos dari 16-20 Jun. Di bawah program itu peserta rombongan akan singgah di bandar Kunming, Pu’er dan Xishuangbanna.

    Sepanjang separuh pertama tahun 2023, jualan harian bunga segar di pasar itu amat memberangsangkan, purata jualan 28 juta tangkai dengan jualan harian tertinggi mencecah 52 juta tangkai, kata Zhang Xian.

    Untuk bunga yang tidak terjual dalam sehari pula, Zhang berkata jumlahnya kurang daripada 10,000 tangkai.

    Bunga-bunga yang tidak dijual akan dikeringkan sebelum dijadikan kompos atau baja.

    Terletak kira-kira 18km dari pusat bandar Kunming, pasar itu menarik kira-kira 20,000 pengunjung setiap hari, sama ada untuk tujuan membeli atau berdagang. Pasar itu sentiasa sibuk dan penuh dengan aktiviti.

    Jika dibandingkan dengan pasar bunga yang lain di China, harga di Dounan Flower Market jauh lebih rendah dan pengunjung boleh membeli pelbagai jenis bunga eksotik dengan harga runcit bermula dari 4 atau 5 RMB. Selain bunga dan tanaman hiasan, pasar itu turut menjual pasu bunga, anak benih, tanaman dalam pasu kecil dan lain-lain.

    Persekitaran berwarna-warni dan bau yang harum daripada pelbagai jenis bunga sudah pasti memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada sesiapa yang mengunjungi Dounan Flower Market. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda