LONDON, 16 SEPT – Pemain sayap Arsenal, Max Dowman berpeluang mencipta sejarah sebagai pemain termuda beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA apabila The Gunners bertemu Athletic Bilbao, hari ini.
Dowman berusia 15 tahun sebelum ini muncul sebagai pemain kedua termuda yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan lalu.
Saingan musim ini memasuki edisi kedua dengan format baharu yang menampilkan 36 pasukan, masing-masing berdepan lapan lawan berbeza mengikut jadual berwajaran sehingga Januari, dengan kedudukan tunggal liga menentukan kemaraan. Aksi pusingan pertama akan berlangsung selama tiga hari minggu ini.
Sementara itu, juara 15 kali Real Madrid hanya memerlukan satu kemenangan dan dua jaringan ketika melayan kunjungan Marseille untuk mencatat dua lagi rekod baharu iaitu 200 kemenangan serta 700 gol dalam kejohanan elit Eropah itu.
Rekod memihak sepenuhnya kepada Madrid yang menewaskan Marseille dalam empat pertemuan terdahulu di pentas Liga Juara-Juara. Dalam perlawanan lain, juara Belgium Union Saint-Gilloise bakal membuat penampilan sulung menentang PSV Eindhoven, Qarabag berkunjung jauh ke Benfica, manakala Tottenham menentang Villarreal.
Juventus yang diperkuatkan penyerang baharu, Jonathan David yang meledak tujuh gol dalam sembilan aksi liga akan berdepan cabaran Borussia Dortmund.
Mengikut format baharu, lapan pasukan terbaik mara terus ke pusingan 16, manakala 16 pasukan berikutnya beraksi dalam pusingan playoff timbal balik untuk mengisi baki lapan slot. – AP


