PRAGUE, 5 NOV – Pemain tengah Arsenal, Max Dowman, menjadi pemain termuda beraksi dalam Liga Juara-Juara selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-73 di Slavia Prague ketika Arsenal menang 3-0 kelmarin.
Rekod penampilan Dowman, yang berusia 15 tahun 308 hari, menewaskan penyerang Jerman, Youssoufa Moukoko, yang bermain untuk Borussia Dortmund di Zenit St Petersburg pada usia 16 tahun 18 hari pada tahun 2020.
Moukoko kini bermain untuk FC Copenhagen.
Pada sidang akhbar selepas perlawanan di Prague, pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji ‘personaliti dan keberanian’ Dowman.
“Dia dimasukkan, mengambil bola pertama, menerima bola, mula menggelecek, dan dia juga membuat kesalahan bermain kasar,” katanya.
“Awda tidak boleh mengajar itu.(Sama ada) Awda memilikinya atau tidak, dan tidak kira apa yang tertulis dalam pasportnya.
“Awda memasukkannya ke dalam konteks ini. Dia mula menyesuaikan diri dan mempunyai prestasi yang baik. Jadi saya sangat gembira,” tambah Arteta.
Dowman membuat penampilan sulung dalam Liga Perdana Inggeris pada usia 15 tahun dan 234 hari semasa Gunners menang 5-0 menentang Leeds pada 23 Ogos lalu.
Dia juga merupakan pemain Liga Perdana Inggeris kedua termuda selepas rakan sepasukan Arsenal, Ethan Nwaneri, yang 53 hari lebih muda pada penampilan sulungnya pada 2022.
Tetapi Dowman juga turut menjadi pemain termuda yang memulakan perlawanan Arsenal dalam kemenangan 2-0 ke atas Brighton dalam pusingan keempat Piala Liga minggu lalu. – AFP


