SYDNEY, 12 NOV – Pengendali pelabuhan, DP World hari ini mengumumkan bahawa ia telah membuat ‘langkah penting’ ke arah menyambung semula perdagangan kargo normal di pintu masuk utama ke Australia, yang telah terganggu selama dua hari akibat insiden siber.
Agensi kerajaan telah mengadakan perbincangan krisis sepanjang hujung minggu sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan oleh Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Siber, Clare O’Neil sebagai pelanggaran ‘serius dan berterusan’ yang telah mengganggu operasi di pelabuhan utama.
“DP World menguruskan hampir 40 peratus barangan yang masuk dan keluar dari negara kita,” tambahnya dalam catatan di X.
Pengendali pelabuhan itu menghentikan sambungan internet di terminalnya di Sydney, Melbourne, Brisbane dan Fremantle pada Jumaat bagi menghalang ‘sebarang akses tanpa kebenaran yang berterusan’ kepada rangkaiannya, kata seorang jurucakap syarikat.
Gangguan itu tidak menghalang kontena daripada diturunkan dari kapal tetapi trak yang diperlukan untuk mengangkutnya tidak dapat memandu masuk atau keluar dari terminal, kata pengarah kanan DP World, Blake Tierney. – AFP