KUALA LUMPUR, 20 APRIL – Syarikat logistik multinasional, DP World sedang memperkukuh operasi di ASEAN untuk memanfaatkan kemunculan Asia Tenggara sebagai pangkalan pembuatan luar pesisir utama dalam kalangan syarikat China.
Syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) terkemuka itu yakin kalangan syarikat China semakin berusaha untuk memintas halangan perdagangan – termasuk tarif –apabila berdagang dengan pasaran Barat.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan DP World Asia Pasifik, Glen Hilton berkata pihaknya merancang untuk mengembangkan operasi melalui pengambilalihan strategik, perkongsian tempatan dan pelaburan infrastruktur.
ASEAN dengan pesat menjadi hab pembuatan luar pesisir yang penting bagi syarikat China, menurut Asia Society Policy Institute.
Pelaburan mereka di rantau itu melonjak kepada AS$17.6 bilion pada 2023 daripada AS$7.5 bilion pada 2020.

“Peningkatan ketara ini didorong oleh gabungan projek pembuatan, kenderaan elektrik, teknologi, perlombongan dan pembangunan infrastruktur termasuk projek digital dan tenaga boleh baharu,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.
Beliau berkata DP World terkenal dengan operasinya berhampiran Pelabuhan Jebel Ali di UAE.
Lonjakan pelaburan China itu mencerminkan aspirasi mereka untuk mengelakkan halangan perdagangan Barat, mengurus kos pembuatan dan buruh, memenuhi permintaan pengguna ASEAN yang semakin meningkat, serta memanfaatkan lokasi strategik rantau ini sebagai pintu masuk perdagangan global, katanya.
“Dalam melangkah maju, perdagangan China-ASEAN diunjurkan meningkat kepada AS$616 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, peningkatan mutlak terbesar di seluruh dunia,” katanya.
Hilton berkata satu lagi kelebihan ialah ASEAN menawarkan perniagaan alternatif yang menguntungkan dari segi kos selain neutral secara diplomatik terhadap hab pembuatan lain di rantau Asia-Pasifik. – Bernama