BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun, semalam, telah berkenan berangkat ke mesyuarat kedua jawatankuasa berkenaan di Bangunan JPM.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan. Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung untuk sesi bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat yang dipimpin oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof dan seterusnya sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan mengurniakan sabda sebelum mesyuarat mendengarkan laporan mengenai persediaan acara-acara utama Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia seperti Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam dan persembahan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke daerah-daerah bagi majlis ramah mesra dan junjung ziarah bersama rakyat.
Mesyuarat juga mendengarkan laporan mengenai persediaan Majlis Doa Kesyukuran, Istiadat Perbarisan Kehormatan, majlis ramah mesra bersama rakyat dan penduduk di keempat-empat daerah, Majlis Khatam Al-Quran ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta para penuntut sekolah seluruh negara dan Majlis Ilmu.
Majlis Doa Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Membaca Surah Yassin, Tahlil dan Doa Kesyukuran akan diadakan di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh segara dengan penumpuan utama di Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong pada 14 Julai.
Manakala itu, Istiadat Perbarisan Kehormatan akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada sebelah pagi 15 Julai disusuli Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran dan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman.
Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong akan diadakan pada 18 Julai di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong, di Daerah Temburong pula akan diadakan pada 20 Julai di di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar dan Daerah Belait pada 22 Julai di Padang Bandaran, Kuala Belait.
Sementara itu, di Daerah Brunei dan Muara, Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat akan diadakan pada 23 Julai di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Majlis Khatam Al-Quran ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta para penuntut seluruh negara pula akan diadakan pada sebelah pagi 27 Julai di Istana Nurul Iman.