BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri kelmarin berkenan menerima mengadap Komandan Jeneral Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Tentara Nasional Indonesia–Angkatan Darat (TNI-AD), Yang Terhormat Mayor Jenderal T.N.I Madsuni di Qashr Al-Meezan.
Menyertai sama Yang Terhormat Mayor Jenderal TNI Madsuni pada majlis tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nurul Omar dan Asisten Operasi Danjen, TNI-AD, Kolonel Inf Lucky Avianto.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.
Pada Majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bertukar-tukar cenderahati dengan Yang Terhormat Mayor Jenderal TNI Madsuni.
Duli Yang Teramat Mulia pernah menerima anugerah beret merah KOPASSUS pada tahun 2014.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P2-3-E_061117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P2-3-D_061117.jpg)
Manakala pada majlis mengadap berasingan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean dan isteri, Chew Poh Yim serta rombongan.
Berangkat sama di majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta kerabat diraja yang lain.
Pada majlis mengadap tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dan TYT Teo Chee Hean telah bertukar-tukar pandangan dan pendapat mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.
Pada majlis itu juga, DYTM Pengiran Muda Mahkota dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan bertukar-tukar cenderahati dengan TYT Teo Chee Hean dan isteri.
Menyertai TYT Teo Chee Hean ialah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Republik Singapura, PYT Grace Fu Hai Yien; Menteri Pendidikan dan Menteri Pengangkutan Kedua, TYT Dato Paduka Seri Ng Chee Meng; Menteri Pendidikan dan Menteri Pertahanan Kedua TYT Ong Ye Kung; Menteri Kanan Negara bagi Komunikasi dan Penerangan dan Menteri Kanan Negara bagi Pendidikan, TYT Dr Janil Puthucheary; Menteri Kanan Negara bagi Perdagangan dan Industri dan Menteri Kanan Negara bagi Pembangunan Negara, TYT Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan dan Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Sosial dan Keluarga, Prof. Madya Muhammad Faishal Ibrahim dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Lim Hong Huai.
TYT Teo Chee Hean berada di negara ini selaku ketua delegasi Republik Singapura bagi lawatan kerja Program Pemimpin Belia Singapura yang diadakan di negara ini pada 3 hingga 5 November.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan timbalan-timbalan menteri di JPM, Dato Seri Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar dan Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud serta Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.