Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – DPMM FC masih membuka peluang mengenai kemungkinan mereka akan beraksi di antara Liga Malaysia ataupun Liga 1 Indonesia, selepas menyatakan keinginan mereka untuk menyertai liga itu pada musim 2019 melalui laman web rasmi mereka.
Pasukan ‘Gegar-Gegar’ itu bersedia untuk bermain di Liga Singapura (Liga-S) musim ini selepas membuat pusingan-U ketika terkait dengan perpindahan liga ke Indonesia.
Namun, pemindahan itu tidak terlaksana seperti juga sebelum ini apabila DPMM FC ingin berpindah ke Liga Super Malaysia, tetapi syarat yang ketat membuatnya untuk gagal dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, selepas mengumumkan yang mereka berhasrat untuk berpindah ke liga bola sepak lain, kemungkinan pemenang Liga-S 2015 itu akan meneruskan keinginannya itu pada akhir musim ini.
DPMM FC telah melantik pengurus pasukan baru dari Brazil, Rene Weber, menggantikan Steve Kean.
Weber mempunyai pengalaman luas di tanah airnya sebagai penolong jurulatih untuk tiga pertandingan kelab terkemuka Brazil iaitu Vasco Da Gama, Atletico Mineiro dan Sao Paulo.
Di peringkat antarabangsa, beliau membimbing pasukan Brazil bawah 20 tahun untuk memenangi tempat ketiga dalam Kejohanan Remaja FIFA 2005.
Menurut laman web kelab DPMM FC, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) juga mempertimbangkan untuk membenarkan pasukan berkenaan untuk menandatangani empat pemain import.
Kelab profesional negara itu sentiasa menjalin hubungan baik dengan FAS sejak mereka menyertai Liga Singapura dan FAS telah menyuarakan sokongan mereka walaupun ketidakpastian masa depan DPMM FC.
Presiden FAS, Lim Kia Tong berkata dalam laporan sebelum ini: “Kami menyatakan dengan jelas bahawa Singapura, khususnya FAS, sentiasa menghargai penyertaan mereka (DPMM FC) dalam liga kami.”
“Ketika mereka dibenarkan mengambil empat pemain asing; ia akan meningkatkan keupayaan kelab untuk melakukan persaingan secara kompetitif,” tambahnya lagi.
DPMM FC juga sedang meninjau pemain import baru berikutan pelepasan pemain produktif Rafael Ramazotti, Daud Gazale dan Vincent Salas.
Berikutan pembaharuan Liga-S yang berkuat kuasa musim ini, pemain yang dipilih itu mesti menjalani ujian Yo-Yo, yang lebih sesuai dengan tuntutan permainan bola sepak, menggantikan ujian kecergasan mandatori 2.4 km.
DPMM FC sebelum ini pernah menyertai Liga Perdana Malaysia pada musim 2005-06 sebelum menempah nama di Liga-S, di mana mereka bermain hingga ke hari ini.