Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – DPMM FC muncul juara Liga Belia Bawah 15 Tahun (B15) Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) selepas menewaskan Kasuka FC 1-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang FABD A di Berakas, hari ini.
Penyerang pasukan, Yunus Poljarevic menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan selepas menerima umpanan daripada Muhammad Hafiy Hakim.
Gol kemenangan perlawanan itu mencetuskan kemeriahan dalam kalangan pegawai dan pemain melonjak dengan kegembiraan.
Penolong Jurulatih DPMM FC, Subhi Abdilah berkata, “Alhamdulillah, rezeki kami untuk menjadi juara Liga Belia B15 Brunei musim ini.”
Pemenang baharu itu berada dalam tangga teratas liga tahun lalu sebelum pertandingan disambung semula dalam format kalah mati.
Perlawanan akhir Liga Belia B15 FABD melabuhkan tirai musim panjang yang bermula pada pertengahan tahun lalu.
Bintang DPMM FC, Awangku Faris Fadillah menggondol anugerah Pemain Terbaik manakala pemain BSRC, Faris Ar Rayan merangkul anugerah Penjaring Terbanyak de-ngan 10 gol.
Sementara itu, DPMM FC memenangi Anugerah Fair Play manakala Subhi Abdilah memenangi Jurulatih Terbaik.