SINGAPURA, 1 SEPT – Andrey Varankow meledakkan dua gol bagi membantu Pasukan Brunei DPMM FC menewaskan Balestier Khalsa 4-1 dalam saingan Liga Perdana Singapura yang berlangsung di Stadium Bishan petang tadi.
Brunei DPMM FC, yang kini berada di kedudukan kedua namun mempunyai kelebihan dua perlawanan ke atas pendahulu liga ketika ini Hougang, bermula garang apabila Charlie Clough membuka jaringan seawal minit ke-2 perlawanan.
Selang 11 minit kemudian, pasukan pelawat menggandakan jaringan mereka menerusi Andrey Varankow bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Kelekaan selepas mendahului dua gol menerima padah apabila Balestier Khalsa berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Hazzuwan Halim di penghujung separuh masa pertama.
Abdul Azizi Ali Rahman mengembalikan kelebihan Brunei DPMM FC apabila menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-69 sebelum Andrey Varankow menjaringkan gol keduanya di masa kecederaan, sekali gus mengesahkan tiga mata penting buat pasukan pelawat.
Kemenangan itu meletakkan Brunei DPMM FC hanya satu mata di belakang Hougang, manakala Balestier Khalsa berada di tangga tercorot dengan 15 mata.
Saingan seterusnya buat Brunei DPMM FC adalah menentang Albirex Niigata di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
