Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPMM FC juara

    Oleh Fadhil Yunus

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – DPMM FC menjulang trofi Liga Perdana Singapura dan melengkapkan kempen liga musim ini dengan kemenangan dramatik 5-4 ke atas Hougang United di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi.

    Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.

    Dalam perlawanan yang penuh aksi tersebut, DPMM FC lebih awal di depan menerusi dua gol penjaring terbanyak liga musim ini, Andrei Varankou.

    Namun Hougang mengurangkan defisit menjadi 2-1 selepas Shahfiq Ghani melepaskan rembatan jarak jauh pada minit ke-56.

    Pemain gantian DPMM FC, Adi Said menjadikan kedudukan 3-1 namun Shahfiq menjaringkan gol keduanya sebelum melengkapkan hatriknya dengan sepakan penalti bagi melengkapkan kebangkitan Hougang.

    Tetapi Adi Said sekali lagi menggegarkan stadium apabila meledakkan gol keempat ketika perlawanan berbaki lapan minit dan pemain pertahanan tuan rumah, Awangku Fakharrazi meletakkan DPMM FC di kedudukan selesa apabila menjaringkan gol kelima pasukan.

    Bagaimanapun, jaringan perlawanan belum berakhir apabila Hougang menerusi Fazrul Nawaz menjaringkan gol keempat di penghujung perlawanan.

    Di bawah kendalian ketua jurulatih Adrian Pennock dan pimpinan Wardun Yussof, skuad DPMM FC hanya tewas empat kali musim ini termasuk tewas sekali kepada Tampines Rovers di laman sendiri.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bersama meraikan kejuaraan DPMM FC di akhir perlawanan.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda