BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Pasukan Brunei DPMM FC gagal memanfaatkan bermain di gelanggang sendiri selepas tewas 0-1 kepada Pasukan Tampines Rovers FC dalam aksi Liga Singapura (Liga-S) di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Pasukan Brunei DPMM FC mendapat kejutan awal apabila pemain Tampines, Ivon Dzoni diberikan ruang yang cukup untuk melepaskan rembatan menewaskan Wardun Yussof bagi jaringan pembukaan seawal minit ke-3.
Pada minit ke-15, Brunei DPMM FC nyaris menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Hendra, namun percubaannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Tampines, Izwan Mahbud.
Tiga minit sebelum separuh masa, Mehmet mencuba nasib dengan percubaan di luar petak tetapi gagal menewaskan Joey Sim, yang menggantikan Izwan kerana cedera.

Di separuh masa kedua Brunei DPMM FC membuat dua pertukaran dengan memasukkan Helmi dan Adi Said bagi membantu bahagian serangan.
Ketika perlawanan berbaki 11 minit, Brunei DPMM FC membuat satu gerakan menarik menerusi Azwan Salleh yang berjaya mengelirukan seorang pemain Tampines sebelum membuat rembatan rendah ke gawang, namun percubaannya itu berjaya ditepis keluar.
Persaingan Brunei DPMM FC seterusnya dalam Liga-S adalah menentang Pasukan Young Lion di gelanggang lawan pada 13 Mei di Stadium Jalan Besar, Singapura.