Oleh James kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – DPMM FC bangkit untuk memastikan keputusan seri 2-2 dengan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam ini.
Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Walaupun menguasai separuh masa pertama, barisan hadapan DPMM FC tidak dapat memanfaatkan peluang untuk memecahkan kebuntuan menentang Negeri Sembilan FC.



Muhammad Syafiq Ahmad hampir meletakkan DPMM FC di hadapan pada minit ketiga namun percubaannya melepasi palang gol selepas menerima hantaran daripada sepakan percuma yang dilakukan oleh pemain nombor 17, Muhamad Hakeme Yazid Said.
Pada minit ke-33, tandukan pemain import, Muhammad Ramadhan Sananta tersasar sedikit dan tiga minit kemudian, percubaan terbuka Miguel Oliveira pula tersasar.
Selepas rehat, perlawanan menjadi rancak apabila Negeri Sembilan FC mendahului pada minit ke-54 apabila Joseph Esso berjaya menjaringkan gol dengan sempurna menerusi sepakan percuma Jovan Motika.
DPMM FC menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Jordan David Murray, yang menyempurnakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Negeri Sembilan FC hasil daripada sepakan percuma yang dilakukan oleh Muhamad Hakeme Yazid.
Pada minit ke-65, Negeri Sembilan FC mendahului semula menerusi Jovan Motika melalui rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol DPMM FC, Michel Santos.
DPMM FC, yang sedang mencari gol penyamaan, terus memberikan tekanan kepada barisan pertahanan Negeri Sembilan FC dan diberikan satu lagi sepakan penalti pada minit ke-81 setelah bola didapati terkena pemain dari Negeri Sembilan FC melalui pemeriksaan VAR.
DPMM FC menerusi Jordan David Murray, telah menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan itu dengan menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Muhammad Azri Abdul Ghani, untuk menyamakan kedudukan.
Walaupun terdapat beberapa peluang yang tercipta untuk Negeri Sembilan FC, akan tetapi penjaga gol DPMM FC, Michel Santos dan pemain pertahanan berjaya bertahan, melakukan penyelamatan penting untuk mengekalkan kedudukan.
Perlawanan DPMM FC seterusnya akan menentang Kuching City FC pada 22 November di Kuching, Sarawak, Malaysia.

