Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPMM Fc kukuhkan kedudukan

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Perdana Singapura di antara Pasukan DPMM FC dan Hougang United di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.

    Menjunjung keberangkatan DYTM ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    DPMM FC terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Perdana Singapura apabila berjaya menundukkan Hougang United FC 3-2.

    Tuan rumah membuka jaringan seawal minit ke-20 permainan melalui usaha Blake Ricciuto untuk mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga babak pertama tamat.

    Pasukan pelawat menerusi rembatan Stipe Plazibat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-53 dan tuan rumah terus diasak sehingga ketinggalan 2-1 dengan jaringan Plazibat tiga minit kemudian.

    Tuan rumah terus berusaha mencari ruang untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan sehinggalah Andrey Varankov berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-65.

    Kedua-dua pasukan masing-masing mencari ruang dan peluang untuk mencari gol kemenangan tetapi pasukan tuan rumah berjaya memanfaatkan peluang pada masa kecederaan apabila Mohd Hendra Mohd Idris menemui gawang, sekali gus mencetak gol kemenangan buat DPMM FC.

    DPMM FC terus memimpin liga selepas lapan perlawanan dengan 20 mata selepas menang enam kali, seri dua kali dan belum lagi tewas setakat ini.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Perdana Singapura di antara Pasukan DPMM FC dan Hougang United di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.
    Antara aksi yang dipamerkan kedua pasukan semasa perlawanan tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda