Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPMM FC lebarkan rekod kemenangan

    Oleh Fadhil Yunus
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Pasukan DPMM FC meneruskan rekod kemenangan dalam aksi Liga Super Brunei selepas mencatat kemenangan selesa 8-0 di atas Wijaya FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Mini Jerudong Park, malam tadi.

    Berkenan menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.

    Andrei Varankou terus beraksi cemerlang di hadapan pintu gol dengan meledak enam gol sementara Charlie Clough dan Hakeme Yazid bin Said masing-masing turut mencatat nama selaku penjaring. Dalam pertemuan berasingan, Kasuka FC melebarkan keputusan tanpa kalah selepas membelasah Bakes FC 9-0 pada perlawanan yang berlangsung di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

    Pemain import Kasuka FC, Taylor Leon Sullivan dari Liberia dan pemain kelahiran Jepun, Andi Shunya, menjadi tonggak utama jentera serangan selepas masing-masing menjaringkan empat gol dan satu lagi gol hasil jaringan Eddy Omar.

    Sementara itu, Indera SC terikat seri tanpa jaringan menentang MS ABDB dalam perlawanan di sebelah petang bertempat di Padang Kem Batalion ke-3, Lumut. Manakala perlawanan antara KB FC menentang IKLS-MB5 FC turut menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol dalam pertemuan di Padang Arena, Seria.

    Prestasi Jerudong FC kekal merudum selepas dibelasah 7-0 oleh BSRC FC dalam perlawanan di Kompleks Sukan Berakas. Jaringan hatrik hasil Safuan Juhar dan gol daripada Zainol Helmi, Haziq Syarqanie, Noorhisham dan Hushaimee Manaeh telah memberikan empat kekalahan berturut-turut buat Jerudong FC.

    Sementara itu, pertemuan di sebelah malam di Kompleks Sukan Berakas, menyaksikan MS PPDB merapatkan jurang mengejar Indera SC selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Setia Perdana. Fazizzul Hussin mempamerkan aksi hebat buat pasukan MS PPDB dengan menjaringkan gol. Rakan sepasukan beliau, Farish Aryan dan Asri Abdul Hakim turut beraksi cemerlang.

    Khairul Halim berjaya meletakkan pasukan Setia Perdana di hadapan tiga minit selepas separuh masa kedua bersambung. Manakala Amirul Idzihar berjaya menghalang Rimba Star untuk meraih kemenangan sulung selepas menjaringkan gol penyamaan lewat perlawanan buat pasukan Panchor Murai.

    Haziq Hardi merembat gol pada awal perlawanan dan seakan memberikan harapan buat Rimba Star untuk memungut mata penuh.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut.
    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berkenan menyaksikan perlawanan tersebut, semalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda