Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – DPMM FC mempamerkan aksi bingkas dalam Liga Perdana Singapura (SPL) ketika mereka bersaing dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Lion City Sailors di Stadium Bishan di Singapura, semalam.
Pendahulu liga berusaha mencari gol apabila pemain penyerang, Abdul Rasaq Akeem cuba melakukan rembatan dari luar kotak penalti tetapi penjaga gol DPMM FC, Kristijan Naumovski, dapat melakukan penyelamatan.
Penyerang DPMM FC, Davis Ikaunieks berjaya mengekalkan bola namun percubaannya tersasar selepas Farshad Noor mempamerkan semangat permainan untuk membawa bola ke kawasan berbahaya.
Lennart Thy cuba mengucar-ngacirkan pertahanan DPMM FC, manakala Hami Syahin pula melepaskan sepakan tinggi melepasi gawang selepas menerima hantaran pendek oleh pemain gantian Haiqal Pashia.
Pemain tengah Lion City Sailors, Song Ui-yong turut mencuba nasib dari jarak jauh tetapi tersasar.
Sementara itu, pemain pertahanan DPMM FC, Damir Muminovic mempunyai peluang dengan melakukan tandukan percuma di dalam kotak penalti tetapi penjaga gol Lion City Sailors, Izwan Mahbud berasa lega setelah bola mendarat ke dakapannya.
Manakala pemain tengah tuan rumah, Rui Pires, membuat hantaran lintang apabila melihat larian Maxime Lestienne yang menyelusup masuk ke barisan pertahanan DPMM FC, akan tetapi pemain itu tidak mampu untuk memberi ancaman kepada Naumovski yang berjaya menyelamatkan bola.
Pemain gantian Lion City Sailors, Christopher Van Huizen, pula berjaya mengawal bola dan cuba melakukan lengkungan ke sudut atas gawang tetapi dinafikan oleh tandukan dari Muminovic bagi menyelamatkan keadaan.
