Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – DPMM FC telah mengesahkan pembelian dua pemain pertahanan Brazil, Gabriel Gama dan pemain sayap Portugis, Miguel Oliveira, menurut pengumuman kelab itu dalam media sosial baru-baru ini.
Kelab profesional Brunei itu menunjukkan hasrat mereka dengan mendapatkan pemain import menjelang musim Liga Perdana Singapura (SPL) yang bermula pada Mei ini.
Gama menyertai pasukan DPMM FC dari pasukan Catanduva Bawah-20 dari Brazil manakala Oliveira mempunyai pengalaman bersama bekas kelab Yarmouk.
Kedua-duanya akan mula berlatih di sini selepas pulang daripada tugas antarabangsa di Arab Saudi.
Kelab itu juga telah menambah penyerang yang bernilai tinggi dari Mexico, Julio Cruz untuk menajamkan serangan mereka.
Kali terakhir Cruz bermain adalah untuk Oaxaca, yang bersaing dalam Liga de Expansion MX, iaitu liga profesional bola sepak Mexico divisyen dua.
Dia telah merangkul Kasut Emas pada musim pertamanya dengan 10 jaringan gol dalam 16 penampilan liga.
Anak kelahiran Minantlan itu juga pernah bermain untuk kelab teratas Costa Rica, Cartagines pada 2019 sebelum berpindah ke San Carlos pada tahun berikutnya.
Dia menikmati prestasi prolifik bersama San Carlos apabila berjaya menghasilkan 13 gol dalam 17 penampilan dan juga melanjutkan tempoh tahun kedua secara pinjaman.
Selain itu, DPMM FC menamatkan usaha mereka untuk mendapatkan pemain antarabangsa Moldova, Victor Mudrac selepas pemain itu memutuskan untuk kekal bersama kelabnya, Petroclub Hincesti.
DPMM FC juga mengekalkan khidmat penjaga gol Macedonia, Kristijan Naumovski dan pemain pertahanan Afghanistan, Farshad Noor.
Kelab itu dijadualkan menentang pasukan dari Liga 1 China, Guangxi Pingguo dalam perlawanan persahabatan sebagai persiapan pramusim mereka pada 20 April nanti.