BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Usaha Brunei DPMM FC untuk menempah tempat pada final Piala Singapura berakhir apabila tewas 4-2 kepada Warriors FC melalui penentuan penalti selepas terikat secara agregat 5-5 di Stadium Jurong East, malam tadi.
Pemain DPMM FC, Abdul Ali Rahman membuka jaringan seawal minit kedua tetapi Warriors FC memberikan respons pada minit ke-13 melalui tendangan penalti yang disempurnakan oleh Jonathan Behe. Tuan rumah meningkatkan asakan sehingga mengubah kedudukan kepada 2-1 melalui jaringan Khairul Nizam pada minit ke-29, bagaimanapun, DPMM FC tidak membiarkan lawan terus mengasak apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 35 melalui jaringan Andrey Varankou.
Kedudukan kekal sama sehingga selesai babak pertama walaupun kedua-dua pasukan sering berbalas serangan.
Empat belas minit selepas bersambung, DPMM FC sekali lagi menempatkan mereka di depan apabila Varankou menembusi kubu lawan pada minit ke-59 untuk mengubah kedudukan kepada 3-2.
Pesta gol nampaknya masih lagi berterusan apabila pemain Warriors FC hanya ketinggalan empat minit sebelum menyamakan kedudukan sekali lagi kepada 3-3 melalui usaha Sahil bin Suhaimi pada minit ke-63.
Tuan rumah menampakkan kelebihan apabila Gabriel Quak menjaringkan gol dalam masa kecederaan tetapi DPMM FC belum menyerah apabila Razimie Ramli menyumbat gol keempat pada minit ke-98. Sahil bin Suhaimi menyumbat gol pada minit ke-101 permainan untuk selesai 5-4 tetapi kemenangan DPMM FC pada pusingan pertama menyebabkan keputusan seri 5-5 secara agregat, sekali gus mengheret aksi kepada penentuan penalti di mana Warriors FC menang 4-2.
