Oleh Fadhil Yunus
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – DPMM FC mencatat kemenangan keempat berturut-turut mereka di Liga Super Brunei 2021 selepas menang 2-0 ke atas Indera SC di Stadium Mini Jerudong Park di Jerudong malam tadi.
Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.
Sepakan penalti Andrei Varankou dan gol Hani Farhan Azman memberikan kemenangan mutlak kepada DPMM FC, sekali gus menghampakan Indera dengan kekalahan liga pertama mereka musim ini.
Sementara itu, Kota Ranger melonjak ke puncak liga dengan meraih tiga mata selepas mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas KB FC di Padang Arena di Seria.
Adi Said meneruskan rentak menjaringkan gol hatriknya yang luar biasa dengan Shun Kamino dan Hazmi Salleh turut menambah senarai nama penjaring.



Bakes FC pula meraih kemenangan pertama musim ini selepas kemenangan 2-1 ke atas Jerudong FC di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Manakala Panchor Murai mencatat kemenangan pertama mereka selepas menewaskan Setia Perdana dengan keputusan 2-1 di Kompleks Sukan Berakas.
Omar Kalong meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-6 tetapi Hafif Ikhmal Arifin menyamakan kedudukan pada minit ke-40.
Namun, Panchor Murai bangkit dengan jaringan Amirul Izdhar pada minit ke-87.
Permulaan perlawanan turut menyaksikan Wijaya meraih kemenangan besar dengan keputusan 7-1 ke atas Rimba Star FC di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Bintang baharu Wijaya, Brian memberi inspirasi kepada pasukannya dengan hatrik sementara Alin Syahmi, Abdul Hanan, Hanif dan Khairul Alimin juga berada di dalam senarai penjaring gol.
MS PPDB pula berada di kedudukan lima teratas selepas menang tipis 1-0 ke atas IKLS MB5, hasil jaringan Naim Tarif.

