Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPMM FC terus di depan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Pasukan DPMM FC tidak menunggu lama untuk memberikan bayangan rentak permainan seterusnya apabila berjaya membuka jaringan dan menggandakan kelebihan untuk menang 2-1 ke atas Balestier Khalsa, petang tadi.

    Berangkat menyaksikan perlawanan Liga Perdana Singapura (Liga-S) di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.

    Gol pembukaan DPMM FC hadir pada minit kelima menerusi jaringan Awang Abdul Azizi Abdul Rahman dan kedudukan kekal sehingga rehat.

    Balestier Khalsa berjaya mengejutkan tuan rumah apabila berjaya menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bermula menerusi jaringan Sime Zuzul.

    Bagaimanapun, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mengubah kedudukan apabila Black Ricciuto menemui ruang untuk menggandakan jaringan lima minit kemudian selepas bolos pada babak kedua.

    DPMM FC berjaya bertahan sehingga tamat meskipun pasukan pelawat berusaha mencari ruang dengan meningkatkan serangan untuk mencari gol penyamaan tetapi tuan rumah mengesahkan kemenangan dan mengutip tiga mata penuh apabila wisel penamat dibunyikan.

    Dengan kemenangan ini, DPMM FC melebarkan jurang di depan dengan 30 mata selepas mengharungi 13 perlawanan, enam mata di depan Albirex Niigata (S) yang masih ada baki satu perlawanan dalam tangan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan perlawanan antara Brunei DPMM FC dengan Balestier Khalsa FC dalam Liga Perdana Singapura (Liga-S) di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. – Gambar oleh Infofoto.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman ketika berkenan menyaksikan perlawanan Liga-S di antara DPMM FC dan Balestier Khalsa, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
    Antara aksi cemas di depan pintu gol dalam perlawanan Liga-S di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda