DPMM FC tidak dapat beraksi dalam baki musim SPL 2020

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengesahkan bahawa pasukan DPMM FC tidak akan mengambil bahagian dalam baki perlawanan Liga Perdana Singapura AIA 2020 (SPL) musim ini.

SPL telah disambung semula pada 17 Oktober lalu sejajar dengan protokol perlawanan yang komprehensif dan langkah-langkah keselamatan setelah penangguhan hampir tujuh bulan.

“Kami baru-baru ini menerima makluman daripada DPMM FC bahawa mereka tidak dapat ikut serta dalam pertandingan yang akan datang, kerana saat ini tidak ada kebenaran di Brunei yang memungkinkan mereka melakukan perjalanan ke Singapura,” kata FAS dalam satu kenyataan.

“Saat ini juga tidak ada pengesahan bila perjalanan dapat dilanjutkan kembali, kerana keadaan COVID-19 yang sedang melanda di seluruh dunia,” tambahnya.

Juara SPL musim lalu itu pada awalnya dijadualkan bermain menentang Lion City Sailors di Stadium Bishan, Singapura esok.

Gambar fail menunjukkan aksi perlawanan antara DPMM FC dan Tampines Rovers FC pada 6 Mac lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

DPMM FC sebelum ini menyaksikan perlawanan mereka menentang Hougang United FC hujung minggu lalu ditangguhkan.

Dengan kelab-kelab tempatan Singapura sedang rancak mencari kedudukan di pertan-dingan kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021, liga ini akan terus berjalan sepanjang musim 2020.

SPL berada di landasan yang tepat untuk menamatkan akhir tahun berdasarkan jadual yang disemak semula.

DPMM FC dan FAS telah melakukan usaha yang signifikan untuk meneroka pengaturan bersama bagi penyertaan dalam liga.

Pengurus Besar DPMM FC, Awang Ali bin Haji Momin menyatakan harapan untuk kembali pada musim 2021 berikutan peristiwa malang itu.

“Kami tidak sabar untuk mempertahankan gelaran kami musim ini.

“Namun, di sebalik usaha terbaik kami, peraturan perjalanan tidak mengizinkan untuk melakukannya,” katanya.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada lapan pasukan lain sepanjang musim ini, dan berharap dapat kembali pada musim 2021 dengan lebih kuat.”

Walaupun ketiadaan DPMM FC, Presiden FAS, Lim Kia Tong tidak sabar untuk menyambut mereka kembali musim depan.

Beliau berkata, “Brunei DPMM FC telah menjadi peserta SPL yang dihargai selama satu dekad dan tetap tidak dapat dipisahkan daripada liga kami. Kami berharap dapat menyambut mereka kembali musim depan.”

Satu-satunya perlawanan DPMM FC musim ini iaitu kemenangan 2-0 menentang Tampines Rovers FC pada 6 Mac lalu juga akan dibatalkan.