Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    DPMM FC tundukkan EPL Legends

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Pasukan DPMM FC berjaya mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas pasukan EPL Legends dalam perlawanan pertunjukan yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, semalam.

    Perlawanan tersebut menyaksikan permulaan serangan hebat dari EPL Legends pada awal permainan apabila tandukan Dimitar Berbatov terkena palang selepas menerima hantaran lintang yang cemerlang daripada Emile Heskey.

    Antara aksi yang memukau dalam perlawanan tersebut adalah apabila Jermaine Pennant menunjukkan kelincahannya dan berjaya melepasi pertahanan DPMM FC sebelum memaksa penjaga gol, Haimie anak Nyaring menepis bola tersebut ke arah sepakan sudut.

    Dari sepakan sudut yang berikutnya, Berbatov memberikan peluang kepada Pennant yang melakukan rembatan dari jarak dekat untuk memberikan kelebihan kepada pasukannya.
    Bagaimanapun, pasukan tuan rumah pantas menghidu gol, dengan Nazirrudin bin Haji Ismail memaksa penjaga gawang EPL Legends, Paul Rachubka, melakukan penyelamatan.

    Pasukan tuan rumah kemudian menyamakan kedudukan apabila Rosmin Kamis menunjukkan kemahiran individunya diikuti dengan sepakan yang cantik ke penjuru bawah gawang.

    Momentum perlawanan terus berpihak kepada DPMM FC apabila pasukan itu berjaya mendahului hasil jaringan Abdul Hariz bin Herman menerusi tandukan.

    Antara aksi para pemain dalam perlawanan tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Pasukan DPMM FC hampir menambah satu lagi jaringan susulan pertukaran kemas antara Muhd Faturrahman Embran dan Nazirrudin namun rembatan yang dilakukan Muhd Faturrahman Embran tersasar.

    Pasukan tuan rumah melebarkan kelebihan mereka dengan dua gol apabila Muhammad Hanif Farhan bin Azman menyelesaikan umpan satu-dua dengan kemas.

    EPL Legends sempat merapatkan kedudukan melalui sepakan penalti setelah Muhammad Ishyra Asmin bin Mohd Jabidi melakukan kekasaran.

    Namun, DPMM FC mengukuhkan kedudukan mereka dengan keputusan 4-2 berkat sepakan cantik Muhd Syafiq Safiuddin bin Abdul Shariff.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...