Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPMM FC ungguli liga

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Pasukan Brunei DPMM FC merampas kedudukan teratas Liga Perdana Singapura selepas menang selesa ke atas Albirex Niigata dengan jaringan 2-0, malam tadi.

    Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Perlawanan bermula perlahan di separuh masa pertama apabila kedua-dua pasukan gagal menembusi gawang masing-masing, di mana kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga rehat separuh masa pertama.

    Rentak di separuh masa kedua mula rancak dengan siri berbalas serangan, namun DPMM FC terlebih dahulu berjaya menggegarkan gawang Albirex.

    DPMM FC memecahkan kebuntuan menerusi Razimie Ramlli pada minit ke-67, apabila penjaga gol Albirex melakukan kesilapan besar di mana bola yang dikawalnya terlepas dan jatuh di kaki Razimie, yang kemudian menendang bola ke gawang yang terbuka luas.

    Penyokong tuan rumah kembali bersorak 10 minit kemudian apabila sepakan percuma jarak jauh Adi Said gagal diselamatkan oleh penjaga gol Albirex bagi menjadikan kedudukan 2-0.

    DPMM FC berjaya bertahan sehingga tamat perlawanan meskipun pasukan pelawat berusaha mencari ruang dengan meningkatkan serangan bagi sekurang-kurangnya menjaringkan gol sagu hati.

    Dengan kemenangan ini, DPMM FC, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding Hougang United, unggul di persada liga dengan 44 mata, dua mata di depan Hougang dan lapan mata meninggalkan pasukan di kedudukan ketiga, Tampines.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyaksikan perlawanan antara Brunei DPMM FC menentang Albirex Niigata. – Infofoto
    Antara aksi menarik dalam perlawanan di antara DPMM FC dan Albirex Niigata. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda