Monday, July 8, 2024
23 C
Brunei

    -

    Dr Chong Ah Fok diangkat terima anugerah berprestij

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Seorang penulis tanah air, Dr Chong Ah Fok baru-baru ini diangkat dan diiktiraf untuk menerima anugerah berprestij iaitu Anugerah Penulis Asia Tenggara.

    Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan bertanggungjawab selaku Urus Setia Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi Negara Brunei Darussalam dan bersepakat memilih Kumpulan Sajak Warisan Abadi yang sekali gus mengangkat penulisnya, Dr Chong Ah Fok dengan nama pena Chong Ah Fok sebagai calon penerima anugerah itu bagi Negara Brunei Darussalam tahun 2023.

    Majlis Mengagai Calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi tahun 2023 telah diadakan kelmarin di rumah kediaman calon penerima di Kampung Batang Mitus, Tutong.

    Majlis berkenaan merupakan penghargaan dan pemakluman awal mengenai pengiktirafan Dr Chong Ah Fok sebagai calon penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, 2023.

    Rombongan mengagai diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Dr Siti Norkhalbi dan Dr Chong Ah Fok pada majlis mengagai yang diadakan di kediaman calon penerima di Kampung Batang Mitus, Tutong. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Turut hadir ialah Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Raden dan Panel Penilai Anugerah Penulis Asia Tenggara serta Urus Setia Unit Pengiktirafan.

    Dengan adanya Anugerah Penulis Asia Tenggara sebagai anugerah berprestij ia menjadi pemangkin dan penggalak kepada para penulis negara-negara Asia Tenggara termasuklah penulis tanah air untuk menghasilkan karya sastera yang berkualiti dan terbaik.

    Setiap tokoh penerima anugerah yang dipilih oleh panel penilai di negara masing-masing, dinilai berdasarkan hasil karya yang telah terbit mengikut genre yang ditetapkan oleh pihak penganjur di Bangkok, Thailand.

    Chong Ah Fok mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1970an dengan menguasai beberapa genre seperti cerpen, novel, puisi, esei, kritikan sastera dan skrip drama.

    Antara karya perseorangan beliau ialah Orang Asing (1985); Angin Pagi (1990); Di Atas Laut (1992), Dalam Perjalanan (1995); Titik-titik Peluh … (2002); Musim Cuti yang Bererti (2008), Kajian Novel Terpilih Brunei Darussalam dari Perspektif Pengkaedahan Melayu (2008), Kumpulan Cerpen Yang Gugur dan Yang Tidur (2015), Kumpulan Sajak Aksara Bicara (2019) dan Kumpulan Sajak Warisan Abadi (2022).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Demam denggi landa selatan India, Karnataka

    NEW DELHI, 7 JULAI – Demam denggi melanda beberapa bahagian di negeri selatan India, Karnataka, dengan hampir tujuh orang disyaki meninggal dunia akibat penyakit...