KINSHASA, 1 JUN – DR Congo hari ini melaporkan wabak Ebola baharu di kawasan barat laut negara, beberapa minggu sebelum ia berharap untuk mengumumkan berakhirnya satu lagi wabak di timur.
Kemunculan penyakit di kawasan negara Afrika tengah memberikan tamparan hebat ketika ia berusaha memerangi pandemik koronavirus.
Menteri Kesihatan, Eteni Longondo berkata ‘empat orang telah pun terkorban’ akibat Ebola di daerah barat laut bandar Mbandaka.
“Institut Penyelidikan Bioperubatan Nasional (INRB) mengesahkan kepada saya bahawa sampel dari Mbandaka diuji positif Ebola,” beritahu Longondo pada sidang media.
“Kami akan menghantar vaksin dan ubat kepada mereka dengan segera,” kata beliau, menambah beliau merancang mengunjungi tapak wabak pada akhir minggu ini. Ibu negeri Wilayah Equateur, Mbandaka ialah hab pengangkutan di Sungai Congo dengan penduduk berjumlah lebih satu juta. Wilayah Equateur sebelum ini dilanda wabak Ebola di antara Mei dan Julai 2018, di mana 33 orang meninggal dunia dan 21 sembuh daripada penyakit itu.
“Wilayah ini telah pun mengalami penyakit tersebut. Mereka tahu bagaimana mengatasinya. Mereka memulakan respons pada peringkat tempatan semalam,” kata Longondo.
Wabak Ebola di kawasan timur negara telah membunuh 2,280 orang sejak Ogos 2018, dan pegawai berharap dapat mengisytiharkannya berakhir pada 25 Jun. – AFP