Oleh Raz AS –
Melainkan awda sudah betul-betul masak sepenuhnya dengan sistem drag dan kekuatan tali pancing pada reel awda, penulis lebih menggalakkan pemancing-pemancing di luar sana terutama pemancing baru agar melakukan setup drag dengan betul, tidak sekadar secara agak-agak sahaja.
Antara kelebihan sistem drag yang telah dilakukan setting yang betul, pemancing tidak perlu bermain-main dengan drag ketika bertarung kerana si pemancing sudah tahu kekuatannya, jadi sekiranya tali ditarik keluar si pemancing sudah boleh mengagak saiz ikan di hujung pancing atau kekuatan renangannya.
Jadi meski ikan membuat pecutan deras si pemancing tidak perlu risau tali putus akibat digasak, hanya perlu gulung tali apabila spool berhenti berpusing. Drag bolehlah dikencangkan sedikit demi sedikit sekiranya tali hampir habis dilarikan dan ikan masih tidak menunjukkan tanda-tanda letih untuk tujuan mencuri tali.
Cuba bayangkan ketika bertarung dengan ikan yang awda sangka sudah lemah dan sedia untuk dinaikkan. Atau ikan tersebut umpama malas hanya berenang dengan lemah gemalai tidak kena dengan saiznya yang besar. Dengan penuh keyakinan drag aeda kencangkan kononnya supaya lebih cepat naik.
Tanpa disangka tiba-tiba sang ikan membuat pecutan deras bagaikan baru bangun daripada tidur. Awda mungkin tidak akan sempat mengendurkan semula drag kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Silap-silap haribulan kita sendiri menggigit jari melihat ikan di depan mata berenang pergi, lebih parah lagi rasanya jika kepergiannya membawa cenderahati berupa lure mahal kesayangan kita.

Untuk setup drag mengikut standard, cukup dengan 25 peratus daripada kekuatan tali yang digunakan. Misalnya jika menggunakan tali berkekuatan 20lb, tali akan keluar apabila ditarik dengan kekuatan beban 5lb.
Mungkin kedengaran sedikit tetapi jika diambil kira dengan geseran yang terjadi di antara tali dengan ring joran dan air ia sudah memberikan tekanan yang kuat kepada sang ikan. Semakin jauh tali dilarikan semakin kuat tekanan itu.
Jika tidak percaya cuba lepaskan tali pancing kosong, yang tidak diikat apa-apa pada hujungnya, panjang-panjang di belakang bot yang berjalan, setelah itu gulung atau tarik tali tersebut. Ia tidaklah seringan yang awda sangkakan.
Untuk mendapatkan bacaan yang tepat awda memerlukan alat timbangan tangan, timbangan digital lebih baik kerana lebih tepat, yang diikat pada hujung tali.
Kemudian dapatkan bantuan seseorang untuk mengangkat joran pada kedudukan 45 darjah atau untuk memegang timbangan itu.
Tarik timbangan tersebut ke bawah sehingga mencecah 25 peratus kekuatan tali dan selaraskan drag agar tali mula keluar apabila mencecah angka tersebut. Manakala sekiranya tali perambut yang digunakan mempunyai kekuatan yang lebih lemah daripada tali pohon, sesuaikan setting drag awda untuk melindungi tali perambut tersebut.
Walau bagaimanapun, bergantung juga pada spesies buruan dan padang pancing, setting drag yang ringan sesuai untuk digunakan semasa memancing di kawasan perairan terbuka, sekiranya awda memburu spesies karang atau yang suka bersembunyi di celah-celah struktur seperti ikan kerapu atau ungah mungkin perlu mengetatkan lagi setting drag hingga ke 45 peratus kekuatan tali.