Kesal peminat sedang hamil lima bulan bersesak dalam ribuan penonton yang hadir ke konsertnya, penyanyi rap Drake meminta petugas memindahkan wanita tersebut ke bahagian VIP.
Tidak hanya itu, Drake turut menawarkan wang tunai sebanyak AS$30,000 kepada wanita tersebut sebagai ganti rugi.
People melaporkan penyanyi rap 38 tahun itu ternampak seorang wanita memegang plakad menyatakan dia sedang hamil 20 minggu.
“Adakah anda sedang hamil 20 minggu? Keluarkan dia dari situ! Berikan dia beberapa tiket VIP dan wang sebanyak AS$30,000,” katanya.
Kejadian itu berlaku ketika Drake mengadakan konsert jelajah Anita Max Win di Qudos Bank Arena di Sydney, Australia pada 19 Februari lalu.
Dalam pada itu, wanita dikenali sebagai Tiana Henderson itu memuat naik foto momen berharga berkenaan dan mengungkapkan rasa terima kasih kepada Drake.
Kata Tiana, dia tidak akan melupakan detik manis tersebut dan bagai tidak percaya apa yang berlaku bukan satu mimpi.
Meskipun belum menerima wang yang dijanjikan Drake, Tiana memberitahu dia tetap berasa bertuah kerana mendapat pengalaman luar biasa tersebut.
“Tidak, saya belum menerima wang itu bahkan saya tidak pasti sama ada akan menerimanya atau tidak. Namun, ia tetap akan menjadi pengalaman terbaik dalam hidup saya,” tulisnya.
