Drama kekeluargaan hiburkan penonton semasa Ramadan

Oleh Adiiwira

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi, kita akan menyambut bulan suci bulan Ramadan, bulan penuh berkat yang akan kita penuhi dengan amal ibadat. Namun, dunia ketika ini masih dalam keadaan kemelut penularan wabak COVID-19.

Meskipun masjid, surau dan balai ibadat banyak yang ditutup sementara berikutan membendung penularan wabak COVID-19, bagi menyemarakkan bulan Ramadan ini kita digalakkan melakukan ibadat seperti membaca Al-Quran, bertadarus dan sembahyang Tarawih berjemaah di rumah masing-masing. Walau bagaimanapun, tidak ada salahnya jika kita menyeimbangkan perihal duniawi dan ukhrawi di bulan Ramadan ini, dengan menonton televisyen, melayari internet dan sebagainya untuk menghilangkan rasa bosan.

Banyak rangkaian televisyen menyiarkan rancangan-rancangan dan drama-drama Islamik atau yang bersesuaian di bulan Ramadan ini. Sebagaimana dalam ruangan minggu ini penulis akan menyentuh dua buah drama yang akan disiarkan tidak lama lagi di rangkaian RTM TV1 dan TV Okey.

Dua buah drama tersebut ialah drama Korban Kasih dan drama Alergi Mamat Romantik. Drama Korban Kasih ini merupakan sebuah drama bersiri yang diadaptasi daripada novel karya Fatimah Saidin yang diarahkan oleh Mohd Fazli Yahya atau lebih dikenali sebagai Pali Yahya dan diterbitkan oleh Mache All Star United Sdn Bhd. Drama 30 episod ini akan disiarkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini pada pukul tujuh malam di TV1.

Drama ini mengisahkan tentang sebuah kisah kekeluargaan yang dirakamkan melalui pandangan Fatimah (Zara Zya) yang melihat perselisihan dan pilih kasih dalam keluarganya. Dia tidak mengerti mengapa ibunya membenci abangnya, Jalil (Saharul Ridzwan) sehingga disingkirkan setelah kematian ayahnya. Dia juga melihat kejayaan kakak sulung dan abangnya yang belajar di sekolah berasrama penuh.

Korban Kasih merupakan sebuah drama yang diadaptasi dari novel karya Fatimah Saidin yang akan disiarkan di bulan Ramadan ini sebanyak 30 episod. – Agensi
Antara barisan pelakon wanita dalam drama Korban Kasih. – Agensi
Drama Alergi Mamat Romantik akan menemui penonton pada bulan Ramadan ini melalui saluran TV Okey. – Agensi
Jejak Rasul Ulul Azmi akan membawa para penonton menjejaki peninggalan sejarah tamadun Islam. – Agensi

Fatimah merupakan anak yang bongsu dari lima beradik, menyelami isi hati Jalil yang disisihkan oleh ibunya sendiri. Seluruh ahli keluarga menyayanginya, kecuali ibunya Norizah (Dynas Mokhtar) yang mencurah kasih sayang pada anaknya yang lain. Walaupun dilayan seperti orang asing oleh ibu sendiri, Jalil banyak berkorban untuk kebahagiaan ibu, kembarnya Jamil (Azrel Ismail), adiknya Fatimah dan kakak sulungnya.

Daripada pandangan penulis sendiri, jalan penceritaan drama ini amat menarik untuk diikuti. Hal ini kerana penceritaannya ada berbeza sedikit dari drama-drama atau novel-novel yang lazimnya memfokuskan penceritaan kisah percintaan. Tetapi kali ini penulis novel ini secara khususnya dan penerbit drama ini lebih menonjolkan kisah kekeluargaan. Di mana, bagi penulis kisah ini sesuatu yang benar-benar terjadi di dunia nyata. Di mana ada sesetengah ibu bapa yang membezakan anaknya sendiri walaupun anak tersebut banyak berkorban untuk mereka dan keluarga.

Justeru, dalam masa yang sama dari pandangan penulis juga bahawa pengamatan Fatimah Saidin (penulis novel) begitu tajam untuk merungkai permasalahan kekeluargaan yang sarat dengan nilai-nilai murni. Malah, bagi penulis kisah ini berkemungkinan berdasarkan daripada kisah hidup penulis novel sendiri yang menonjolkan dirinya sebagai watak Fatimah dalam novel tersebut. Drama ini juga dibintangi oleh Ummi Nazeera, Hasnul Rahmat, Ezzaty Abdullah, Dato Ahmad Tamimi Siregar, Sheila Hassan, Nadiyah Shahab, Elnisa Ryun, Riz Amin, Meor Mohd, Haziq Fadhullah, Anne Abdullah dan ramai lagi.

Dalam drama Alergi Mamat Romantik yang juga menampilkan Zara Zya sebagai pelakon utama wanita yang digandingkan bersama Fadlan Hazim merupakan drama yang diadaptasi daripada novel karya Ezza Mysara. Drama ini diarahkan oleh Hariss Fadzillah yang akan disiarkan sebanyak 20 episod di siaran TV Okey.

Alergi Mamat Romantik ini mengisahkan tentang kisah Nurul Kaisara (Zara Zya) seorang penulis novel yang alergi dengan lelaki romantik. Kaisara merahsiakan identiti dia sebagai penulis novel. Diugut oleh Arjuna (Fadlan Hazim) peguam baharu ditempat kerjanya, Kaisara terpaksa mengajar Arjuna untuk jadi lelaki romantik seperti hero-hero novelnya kerana kononnya Arjuna mahu menjadi romantik untuk kekasihnya yang sedang belajar di luar negara.

Sambil belajar menjadi romantik, Arjuna cuba memikat Kaisara. Kaisara cuba menidakkan rasa yang mula muncul dalam hatinya. Kaisara dan Arjuna akhirnya berkahwin dan ujian datang melanda. Tanpa kurniaan seorang anak, Kaisara merasakan dirinya kekurangan sehingga menyuruh suami berkahwin lain.

Dalam drama kedua ini pula, penulis berpendapat drama ini tetap sama seperti drama pertama yang menumpukan kisah kekeluargaan. Memang pada mula penceritaannya lebih menjurus kepada kisah percintaan Kaisara dengan Arjuna yang mulanya saling tiada perasaan cinta tetapi akhirnya menjadi suami isteri. Setelah bergelar suami isteri inilah baru menonjol unsur kisah kekeluargaan kerana satu perkara masalah keluarga yang signifikan iaitu pasangan yang tidak dikurniakan anak dan mengatasinya dengan perkahwinan kedua apabila menemui jalan buntu.

Sesuatu yang menarik perhatian penulis adalah dalam drama kedua atau dikhususkan kepada novel yang diadaptasi tersebut, penulis berpendapat penulis novel ini sama seperti penulis novel bagi drama yang telah dijelaskan awal. Hal ini kerana watak perwatakan Nurul Kaisara digambarkan sebagai seorang penulis novel, justeru ada persamaan dengan perwatakan penulis iaitu juga seorang penulis novel.

Malah, nama penulis novel dan watak utama wanita juga memiliki hampir ada persamaan iaitu Ezza Mysara dan Nurul Kaisara. Oleh yang demikian, penceritaan Alergi Mamat Romantik ini berkisarkan kehidupan nyata penulis. Drama ini juga dijayakan oleh barisan pelakon seperti Aprena Manrose, Syazwan Zulkifly, Jasper Supayah, Zera Hariz, Sazrin Aizul, Zalfa Zin, Puteri Khareeza, Zulkifli Ismail.

Namun, penjelasan dalam ruangan ini hanyalah pandangan dan pengamatan penulis terhadap kedua-dua buah drama tersebut. Secara kesimpulannya, kedua-dua buah drama ini amat sesuai untuk disiarkan dan ditonton di bulan Ramadan ini kerana kedua-duanya memfokuskan tentang kisah kekeluargaan yang banyak pengajaran yang dapat diperolehi oleh penonton.

Di samping itu juga melalui siaran TV3, para penonton boleh mengikuti sebuah program Islamik, Jejak Rasul Ulul Azmi, yang dihoskan oleh Fedtri Yahya bagi menjejaki peninggalan sejarah tamadun Islam yang berhubung kait dengan perjalanan hidup Nabi Nuh AS dan Nabi Ibrahim AS. Penonton juga dibawa menikmati keindahan Turki, Jordan dan Yerusalem. Jejak Rasul Ulul Azmi ini mula disiarkan pada Ahad lalu sehingga 23 Mei ini setiap hari Jumaat hingga Ahad. Semoga bulan Ramadan tahun ini memberi makna yang berharga dalam kehidupan kita meskipun pergerakan kita agak terhad berikutan penularan wabak COVID-19.