HAMBURG, 6 NOV – Seorang bapa bersenjata yang menjadikan anak perempuannya berusia empat tahun sebagai tebusan, memaksa penggantungan penerbangan di lapangan terbang Hamburg, sudah menyerah diri ‘tanpa tentangan’ semalam selepas beberapa jam rundingan, kata polis Jerman.
Lelaki Turkiye berusia 35 tahun itu telah mengurung dirinya dan kanak-kanak itu di dalam keretanya di kaki pesawat Turkish Airlines pada petang Sabtu, menuntut untuk dibenarkan menaiki pesawat selepas pertikaian hak penjagaan dengan ibunya.
Dia telah merempuh keretanya melalui kawasan keselamatan ke tempat pesawat diletakkan, melepaskan dua das tembakan ke udara dan melemparkan dua botol bahan bakar keluar dari kenderaan itu, kata polis.
“Penahanan tebusan telah berakhir,” polis tempatan menyiarkan di X, sebelum ini Twitter, semalam.
“Lelaki itu telah meninggalkan keretanya bersama anak perempuannya dan dibawa untuk disoal siasat oleh pasukan keselamatan tanpa tentangan,” katanya sambil menambah kanak-kanak itu “nampaknya sihat”.
Polis telah membawa ahli psikologi dan pasukan perunding serta unit tindak balas pantas ke lapangan terbang di utara Jerman.
Pihak berkuasa berkata pertikaian mengenai hak penjagaan kanak-kanak itu dipercayai punca di sebalik kejadian itu, dengan isteri pemandu membuat panggilan kecemasan memaklumkan polis mengenai penculikan anaknya.
Polis berkata lelaki itu mengalami masalah psikologi dan menculik anak perempuan itu di rumah ibunya di bandar berhampiran Stade pada hari Sabtu sebelum pergi ke lapangan terbang Hamburg. – AFP