Monday, March 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Draper kejutkan Alcaraz, mara ke final Indian Wells

    INDIAN WELLS, 16 MAC – Jack Draper meleburkan impian Carlos Alcaraz untuk mencipta sejarah kemenangan hatrik di ATP Masters Indian Wells kelmarin, menewaskan pemain Sepanyol itu untuk mara ke final menentang Holger Rune.

    Pemain Britain yang kini berada di ranking ke-14 dunia itu kekal tenang untuk menundukkan Alcaraz 6-1, 0-6, 6-4 sekali gus melangkah ke final Masters 1000 pertamanya.

    Holger Rune dari Denmark, yang menghuni ranking ke-13 dunia, menewaskan pemain nombor enam dunia, Daniil Medvedev, dengan keputusan 7-5, 6-4. Medvedev sebelum ini menjadi naib juara dua tahun berturut-turut selepas tewas kepada Alcaraz.

    “Kekalahan ini sungguh menyakitkan,” akui Alcaraz, yang berusaha menyertai Roger Federer dan Novak Djokovic sebagai pemain lelaki ketiga yang memenangi tiga gelaran Indian Wells berturut-turut.

    “Saya tidak suka kalah dalam mana-mana perlawanan, tetapi yang ini terasa lebih istimewa buat saya. Ia perlawanan yang sukar, dengan banyak tekanan.”

    Jack Draper melakukan pukulan depan semasa menentang Carlos Alcaraz dari Sepanyol dalam perlawanan separuh akhir mereka semasa BNP Paribas Open di Indian Wells Tennis Garden pada 15 Mac. – AFP

    Draper menamatkan rekod 16 kemenangan berturut-turut Alcaraz di Indian Wells dengan permulaan yang cemerlang, menamatkan set pertama dalam hanya 23 minit ketika Alcaraz gagal mengatasi servis pemain kidal itu.

    Namun, set kedua menyaksikan kebangkitan Alcaraz yang berjaya menangkis mata penamat dengan servis cemerlang berkelajuan 137 mph sebelum mematahkan set pembukaan Draper sebanyak tiga kali untuk menyamakan kedudukan.

    “Ia perlawanan yang pelik, sejujurnya,” kata Draper. “Carlos bermula agak perlahan dan saya menyedari itu. Saya hampir mendapatkan peluang awal di set kedua, tetapi dia muncul dengan servis cemerlang.

    “Apa yang berlaku kepadanya di set pertama berlaku kepada saya di set kedua. Saya mula gementar, tenaga saya berkurangan dan saya hilang fokus selama 25 minit.

    “Namun, saya bangga dengan semangat juang saya di set ketiga dan akhirnya berjaya menang.”

    Draper, yang buat pertama kali dalam kariernya tewas satu set tanpa mata (0-6), memperoleh kelebihan 2-1 di set penentuan selepas keputusan ulang tayang video menunjukkan dia berjaya memukul semula bola drop shot Alcaraz tanpa dua lantunan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda