VIENNA, 28 OKT – Jack Draper berjaya mengatasi cabaran pada set kedua untuk memenangi Terbuka Vienna dengan keputusan 6-4, 7-5 ke atas Karen Khachanov, kelmarin.
Kejayaan itu menandakan gelaran kedua buat pemain Britain berusia 22 tahun itu, dan yang pertama pada kejohanan ATP 500 setelah memenangi acara ATP 250 di Stuttgart pada Jun lalu.
“Memenangi ATP 500 pertama saya, perasaannya sangat luar biasa,” ujar Draper, yang bakal memasuki kedudukan 15 teratas buat pertama kali dalam kerjayanya.
“Saya sangat gembira dan berbangga dengan diri dan pasukan saya. Saya akan meraikan kejayaan ini,” tambahnya.
Selepas menguasai set pertama dan mendahului 4-0 pada set kedua, Draper mula menghadapi kesukaran apabila Khachanov, yang baru memenangi kejohanan di Almaty minggu sebelumnya, berjaya bangkit dalam lima pusingan berturut-turut.
Bagaimanapun, Draper kembali fokus tepat pada masanya untuk menamatkan perlawanan dan menjadi pemain pertama yang memenangi kejohanan itu pada penampilan sulungnya sejak Andy Murray pada 2014.
“Saya bermain dengan baik, tetapi kemudian momentumnya berubah. Saya tidak terlalu gugup atau tertekan, cuma beberapa keputusan saya tersasar, dan Karen mempertingkat prestasinya. Ia menunjukkan betapa hebat aksinya,” kata Draper.
Draper mara ke final selepas menewaskan pemain nombor 17 dunia, Lorenzo Musetti, dalam perlawanan separuh akhir dengan keputusan 6-2, 6-4 pada Sabtu, dan hanya kehilangan satu set sepanjang kejohanan tersebut. – AFP