KUALA LUMPUR, 29 Sept – DRB-HICOM Bhd telah menyelesaikan cadangan langganan saham 49.9 peratus pegangan atau 547.02 juta saham dalam Proton Holdings Bhd (PHB) oleh Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) untuk RM460.3 juta.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, DRB-HICOM berkata, kepentingan ekuitinya dalam PHB kini dikurangkan kepada 50.1 peratus dan baki 49.9 peratus pegangan ekuiti dalam PHB kini dipegang Geely International (Hong Kong) Ltd (anak syarikat milik penuh Geely).
Sementara itu, Lotus Advance Technologies Sdn Bhd tidak lagi menjadi anak syarikat milik penuh DRB-HICOM, katanya. DRB-HICOM berkata, PHB telah menyelesaikan cadangan jualan 51 peratus saham terbitan dalam Lotus Advance Technologies dan 51 peratus saham keutamaan dalam Lotus Cars Ltd kepada Geely.
PHB juga telah menyelesaikan cadangan jualan 49 peratus saham terbitan dalam Lotus Advance Technologies dan 49 peratus saham keutamaan Lotus Cars kepada Etika Automotive Sdn Bhd, katanya.
Menurutnya, cadangan jualan kepentingan PHB dalam Lotus Advance Technologies berjumlah £100 juta (£1 = RM5.67).
DRB-HICOM, Geely dan Etika telah bersetuju untuk tidak memindahkan saham keutamaan Lotus Cars masing-masing kepada Geely dan Etika pada tarikh penyelesaian sehingga perbincangan selanjutnya antara pihak terlibat, tanpa sebarang perubahan jumlah pertimbangan jualan bagi cadangan jualan, katanya. – Bernama