TOKYO, 29 JULAI – Bintang Amerika Syarikat (AS) yang juga juara dunia dua kali, Caeleb Dressel lebih pantas berbanding Kyle Chalmers untuk merangkul pingat emas 100 meter gaya bebas ketika China mencipta kejutan terbesar dengan melakar rekod dunia baharu pada acara 4x200m berganti-ganti wanita.
Dressel terlepas pingat pada Rio 2016 namun dia terus gah apabila memenangi 13 gelaran sepanjang dua kejuaraan dunia untuk menjadi pencabar terhebat di Tokyo.
Dia mendahului selepas satu pusingan namun dipaksa bekerja keras apabila Chalmers cuba menyainginya dan menamatkan perlumbaan dengan rekod baharu Olimpik, 47.02 saat.
Perenang Australia memperoleh pingat perak dengan catatan 47.08s di depan Kliment Kolesnikov dari Rusia dengan catatan masa 47.44s.
“Tahun yang begitu sukar dan saya sangat gembira,” kata Dressel.
“Sangat menarik untuk bersaing dengan Kyle dan kami sentiasa membuatkan ia (perlumbaan) menjadi bertambah baik.”
Ini adalah pingat emas keduanya pada temasya kali ini selepas merangkul gelaran dalam acara 4x100m berganti-ganti.
Sementara itu, kejutan terbesar dapat disaksikan selepas AS dan Australia tidak memenangi acara 4x200m berganti-ganti wanita buat kali pertama sejak acara itu diperkenalkan di Sukan Olimpik pada 1996. – AFP
