Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dron bantu bersihkan sampah di Gunung Everest

    KATHMANDU, NEPAL, 26 OGOS – Usaha pembersihan Gunung Everest musim pendakian tahun ini menyaksikan penggunaan dron berkapasiti tinggi bagi mengangkut sampah dari kawasan pergunungan tertinggi dunia itu.

    Selama ini, ribuan tin kosong, tong gas, botol plastik dan peralatan mendaki terbiar menyebabkan Everest digelar sebagai ‘tong sampah tertinggi dunia’.

    Dua dron jenis DJI FC 30 berjaya diterbangkan sehingga ke Kem 1 pada ketinggian 6,065 meter (m), sebelum mengangkut turun 300 kilogram (kg) sampah sepanjang musim mendaki yang berlangsung April hingga awal Jun.

    Menurut Raj Bikram Maharjan daripada syarikat Nepal, Airlift Technology, penggunaan dron menjadi pilihan terbaik berbanding helikopter atau tenaga manusia.

    “Kami mahu cari penyelesaian yang lebih selamat dan praktikal dan dron adalah jawapannya,” katanya.

    Inisiatif itu pernah diuji di Gunung Ama Dablam, dengan 641kg sampah berjaya dibawa turun. Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Luar Bandar Khumbu Pasang Lhamu, Tashi Lhamu Sherpa, menyifatkan langkah tersebut sebagai ‘revolusi’ dalam usaha menjadikan pergunungan lebih bersih dan selamat.

    Ketua Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha, Tshering Sherpa berkata dron jauh lebih efisien kerana mampu mengangkut sampah setara kerja 10 orang pendaki dalam hanya 10 minit.

    Setiap dron berharga kira-kira AS$20,000, namun dibekalkan pengeluar berpangkalan di China bagi menyokong operasi pembersihan serta tujuan promosi, manakala sebahagian kos ditanggung pihak berkuasa tempatan. – AFP

    Seorang lelaki mengendalikan dron untuk membersihkan sampah yang dibuang di Kem Pangkalan Everest. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda