KUCHING, 9 JUN – Dron yang dilengkapi kamera dan siren yang disediakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak akan membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di negeri ini untuk memantau kawasan berisiko kebakaran hutan.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman berkata peralatan yang disediakan oleh kedua-dua agensi ini dapat melengkapkan lagi persiapan JBPM dalam menghadapi kemungkinan berlakunya kebakaran hutan semasa musim kemarau di negeri ini, sekarang.
Beliau berkata berdasarkan statistik, jumlah kes kebakaran hutan semasa PKP pada Mac hingga Jun 2020 hampir sifar, namun meningkat apabila perintah itu dilonggarkan dan ia membuktikan berkaitan dengan perbuatan manusia dan ia perlu dipantau. – Bernama