Dron dilengkapi kamera padam kebakaran hutan

PUTRAJAYA, 5 MAC – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan teknologi dron dilengkapi kamera ‘thermal’ bagi menyelaras operasi memadam kebakaran hutan di negara ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata, melalui teknologi itu, haba dan kemerebakan kebakaran di bawah permukaan tanah boleh dikesan, selain operasi pemantauan di kawasan kebakaran juga dapat dilakukan pada waktu malam.

“Melalui dron ini, kita juga dapat lihat adakah anggota yang berada di lokasi mencukupi dan ia memudahkan anggota untuk membuat laporan berapa luas hutan yang telah terbakar,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18 di sini, hari ini.

Dalam operasi memadam kebakaran hutan di Selangor, Mohammad Hamdan berkata dua dron digunakan dan ia membolehkan anggota mengesan sumber air di kawasan yang mengalami kebakaran dengan cepat.

Beliau berkata, pihaknya menerima 5,754 panggilan kecemasan berhubung kebakaran hutan di seluruh negara sejak Januari sehingga semalam.

“Buat masa ini, kebakaran hutan kerap berlaku di Selangor dan beberapa kawasan di Johor. Bomba telah bersiap sedia dan akan mengerakkan semua aset untuk melakukan operasi memadam kebakaran,” katanya.

Pada 3 Mac lepas, Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar berkata seluruh Selangor, Pahang dan Johor, kini diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Dengan pengisytiharan itu, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka, atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan me-reka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka bagi tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. – Bernama