TEHRAN, 28 April – Dron Pengawal Revolusi Iran berjaya melakukan penerbangan pemantauan ke atas kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat di Teluk, lapor agensi berita Tasnim di laman webnya hari ini.
Video yang disiarkan agensi berkenaan, yang tidak dapat disahkan, menunjukkan dron berwarna biru muda itu dengan nama ‘Ababil III’ tertulis di sayapnya dalam Bahasa Parsi dan Latin.
Ia dilihat berlepas dari pangkalan padang pasir berhampiran laut, ketika lagu sebuah filem aksi dimainkan sebagai latar belakang dan terbang di atas kapal pengiring pada mulanya dan kemudian kapal pengangkut dengan jet pejuang diparkir di atas dek.
“Pasukan tentera laut Sepah (nama Pengawal Revolusi dalam Bahasa Parsi) sedar semua pergerakan tentera pengganas Amerika di rantau ini dan Teluk Parsi dan memantau rapi mereka,” menurut Tasnim. – AFP