AMMAN, 22 JUN – Direktorat Keselamatan Awam (PSD) Jordan memaklumkan telah menerima banyak laporan sejak pagi kelmarin mengenai dron dan objek mencurigakan yang jatuh di beberapa lokasi di negara itu, lapor agensi berita Petra.
Insiden itu menyebabkan kerosakan pada sebuah rumah dan sebuah kenderaan di satu lokasi sahaja iaitu di kawasan Thuneibah, Ramtha di utara negara itu, menurut kenyataan berkenaan, sambil menambah bahawa tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan di lokasi lain.
Agensi keselamatan dan ketenteraan yang berkaitan kini sedang mengendalikan objek terbabit dan menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan.
PSD sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak menghampiri sebarang objek mencurigakan kerana ia mungkin sangat berbahaya berikutan kemungkinan mengandungi bahan letupan atau toksik.
Orang ramai juga digesa memberi kerjasama dan segera menghubungi talian kecemasan 911 untuk melaporkan sebarang kejadian agar pihak berkuasa yang berkenaan dapat mengendali dan menyiasatnya dengan sewajarnya. – Bernama
